Tentang PPWS

PERSEKUTUAN PERKUMPULAN WANITA SARAWAK

Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sarawak pada 3 Oktober 1962. PPWS meraikan Hari PPWS pada setiap 5 Mei setiap tahun dan tarikh ini telah diwartakan dalam Kalender Almanac Negeri Sarawak. PPWS juga menjadi Ahli Bersekutu kepada Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) pada tahun 1964 dan Majlis Kebajikan Sosial Sarawak pada 1 Disember 2021.

Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ditubuhkan untuk membantu wanita khususnya di luar bandar dengan mewujudkan program terancang dan aktiviti yang memberi mereka didikan dan kemahiran seperti pemakanan sihat, penjagaan kebersihan diri, masakan, kraftangan dan sebagainya. Penubuhan PPWS telah membuka peluang kepada ahli-ahli PPWS daripada seluruh Sarawak untuk berkongsi maklumat dalam pelbagai aspek/cabang ilmu. Tujuh (7) bidang program disediakan oleh PPWS iaitu Kemahiran, Keusahawanan, Kepimpinan, Khidmat Masyarakat, Kesejahteraan Keluarga, Kesihatan dan Pemerkasaan Digital.

Melalui penyertaan dalam badan sukarela seperti PPWS, ahli-ahli dapat memupuk kerjasama dan persefahaman selain bergaul mesra tanpa mengira latar belakang. PPWS turut menjalin kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain, pelbagai agensi dan badan kerajaan tanpa mengira fahaman politik.

Jawatankuasa PPWS di Peringkat Induk dianggotai oleh lima belas (15) orang dan dua (2) orang Ahli Dilantik yang dipilih setiap dua (2) tahun sekali. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Pengerusi Negeri. PPWS juga mempunyai satu (1) orang Penaung dan tiga (3) orang Penasihat.

PPWS mempunyai seramai sembilan (9) orang kakitangan tetap di lima (5) buah Pejabat PPWS di seluruh Sarawak yang diketuai oleh Setiausaha Eksekutif. Kakitangan PPWS ini ditempatkan di Pejabat PPWS di Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri dan Limbang. Mereka dipertanggungjawab untuk memantau pengurusan dan pentadbiran PPWS agar berjalan dengan lancar dan teratur.