Sejarah

Sejarah

Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ialah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah ditubuhkan pada tahun 1962 bermula di bawah jagaan Jabatan Pertanian iaitu sebagai sebahagian daripada Rancangan Luar Jabatan Pertanian. Pada awal penubuhan PPWS, Pertubuhan ini telah dikelolakan oleh Miss Elizabeth O’ Kelly yang mentadbir PPWS di bawah Jabatan Pertanian. PPWS mula beroperasi di Serian sebelum mengembangkan pergerakan di Kuching. Ketika itu, PPWS mendapat bantuan untuk membiayai gaji Miss Elizabeth O’ Kelly daripada Yayasan Asia melalui Jabatan Kerjasama Teknikal, Britain. Pada tahun 1965, tugas Miss Elizabeth O’ Kelly telah diserahkan kepada seorang Setiausaha Pentadbir Tempatan, iaitu Puan Rugayah Majid yang kini merupakan Penasihat PPWS.

Pada masa itu, PPWS ditubuhkan dengan tujuan membantu wanita luar bandar meninggikan taraf hidup mereka. Kaedah untuk memperkenalkan PPWS kepada orang ramai di luar bandar ialah dengan menerbitkan surat berita pada tahun 1963 dan melancarkan nama “W.I” yang membawa erti “Women’s Institutes”. Aktiviti PPWS dihebahkan melalui corong-corong radio bagi memudahkan PPWS menyampaikan berita mengenai aktiviti Pertubuhan kepada ahli-ahli PPWS dan juga orang ramai.

Antara usaha-usaha PPWS pada awal penubuhannya ialah pertama, menjalankan Kelas Buta Huruf di Kampung-kampung yang dihadiri oleh mereka yang berumur antara 20 tahun hingga 60 tahun. Kedua, membantu wanita di luar bandar untuk mendapatkan bekalan air paip di kampung dengan bantuan monetari dan kepakaran teknikal daripada Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perubatan dan Kesihatan serta Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW). Ketiga, pembinaan tandas curah juga telah diusahakan oleh PPWS dan menjadikan kawasan kampung lebih selesa dan keempat, menggalakkan ahli-ahlinya bergiat dalam pertukangan tangan, kraftangan selain masakan untuk menambah pendapatan keluarga. PPWS juga pernah membuka tadika dan turut aktif mempromosi budaya pemakanan sihat kepada golongan wanita khasnya kaum ibu.

Kini, fokus program PPWS lebih menyeluruh di mana tujuh (7) bidang program disediakan iaitu Kemahiran, Keusahawanan, Kepimpinan, Khidmat Masyarakat, Kesejahteraan Keluarga, Kesihatan dan Pemerkasaan Digital.

Penubuhan PPWS ini telah menjadi kebanggaan kepada kaum wanita di Sarawak kerana sejak penubuhannya sehinggalah kini, PPWS telah memainkan peranan besar dalam membimbing wanita khususnya wanita luar bandar ke arah kemajuan dari segi pendidikan di samping melaksanakan projek dan aktiviti yang dapat membantu mereka menjana pendapatan keluarga. PPWS juga telah menggilap potensi wanita sehingga memberi sumbangan ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.






PERANAN

Membimbing wanita ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan asas, taraf hidup, dan kemahiran.
Menggilap potensi wanita agar dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.
Mewujudkan program/aktiviti terancang kepada wanita bandar dan luar bandar.
Membuka peluang kepada ahli-ahli PPWS berkongsi maklumat dalam pelbagai aspek/cabang ilmu.




OBJEKTIF

Menggalakkan perpaduan, persefahaman dan persahabatan di antara semua kaum di Negeri Sarawak dan menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain, pelbagai agensi swasta dan badan kerajaan yang mempunyai hasrat yang sama bagi meninggikan lagi taraf wanita.