Berita Akhbar

PPWS dan KOPERWANIS perluas akses pasaraan produk usahawan wanita

KUCHING: Usaha memperkasa usahawan wanita terus diperkukuh melalui penubuhan pusat agihan produk bertempat di Metrocity yang bakal menjadi hab pengedaran bagi produk keusahawanan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, inisiatif yang diterajui dengan kerjasama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) itu merupakan langkah penting memperluaskan akses pasaran kepada produk usahawan wanita.

“Penubuhan pusat agihan ini bukan sahaja memudahkan pengedaran produk tetapi bagi memastikan produk yang dihasilkan ahli PPWS lebih tersusun dan berdaya saing, katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Agihan Bubur Lemak Sarawak Sempena Ramadan Al-Mubarak, di Metrocity, hari ini.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan lebih ramai wanita, khususnya di luar bandar mendapat akses dan pendedahan kepada program pembangunan ekonomi dan sosial.

“PPWS bukan sekadar NGO, tetapi sebuah organisasi yang berperanan besar dalam memperkasakan wanita dari peringkat akar umbi, iaitu secara kumpulan di beberapa daerah.

“Ini selari dengan hala tuju dan dasar Kerajaan Sarawak untuk memastikan semua wanita di seluruh pelusuk, terlibat dalam sektor sosial, ekonomi dan keusahawan bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, bangunan tiga tingkat yang diperoleh sepenuhnya dengan sumbangan Kerajaan Sarawak pada tahun 2022 yang bernilai RM900,000 dijangka turut menjadi pusat mini pemprosesan bagi produk tertentu seperti rempah dan bumbu masakan yang dihasilkan oleh ahli koperasi.

“Saya yakin bangunan ini dapat membantu ahli-ahli PPWS yang keseluruhannya seramai 11, 928 orang ahli di seluruh Sarawak,” tambahnya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai wanita menyertai PPWS dan koperasi di bawah naungannya bagi mendapatkan ilmu dan kemahiran yang boleh memberi manfaat kepada diri dan keluarga mereka.

Sementara itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli PPWS yang telah menyediakan bubur lemak dan mengagihkan bubur itu sempena bulan Ramadan.

“Ini mencerminkan keunikan kulinari tempatan, perpaduan serta kesatuan masyarakat sepanjang bulan Ramadan kerana penyediaan bubur dilakukan secara bergotong-royong sebelum waktu berbuka puasa,” ujarnya.

Sejumlah 700 bungkus bubur lemak telah diagihkan kepada ahli-ahli PPWS dan komuniti surau, simbolik dengan matlamat bulan Ramadan yang mengajar erti kesyukuran dan sifat empati terhadap golongan kurang berkemampuan.

- SuaraSarawak