Berita Akhbar

PPWS perlu lebih komited bantu wanita, masyarakat

BINTULU: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) perlu terlibat dalam program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti agar dapat membantu memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata antara program boleh disertai PPWS ialah Low Income Family Empowerment (LIFE) untuk membantu kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah.

"Ini disebabkan PPWS merupakan pertubuhan paling dekat dengan komuniti," katanya ketika berucap merasmikan Hari Keluarga PPWS Daerah Bintulu-Tatau di sini semalam.

Menurutnya, PPWS juga mampu memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada kerajaan mengenai keperluan komuniti yang memerlukan bantuan daripada kerajaan. 

Beliau berkata, keluarga asnaf atau B40 di sini memerlukan bantuan bakul makanan misalnya, PPWS mungkin mengetahui keadaan mereka boleh terus menyalur maklumat kepada Pusat Khidmat DUN Jepak untuk diberikan bantuan.

"Justeru, PPWS perlu lebih komited bukan sahaja menumpu kepada usaha membantu golongan wanita malah masyarakat keseluruhannya," jelas beliau.

PPWS ditubuhkan untuk membantu wanita khususnya di luar bandar dengan program terancang dan aktiviti memberi didikan dan kemahiran seperti pemakanan sihat, penjagaan kebersihan diri, masakan, kraf tangan dan sebagainya. 

Penubuhan PPWS membuka peluang kepada ahli-ahli dari seluruh Sarawak berkongsi maklumat dalam pelbagai aspek atau cabang ilmu iaitu kemahiran, keusahawanan, kepimpinan, khidmat masyarakat, kesejahteraan keluarga, kesihatan dan pemerkasaan digital.

Terdahulu sempena Hari Keluarga PPWS itu, beberapa aktiviti kekeluargaan dan jualan makanan diadakan dan program tersebut turut dihadiri Pengerusi PPWS Daerah Bintulu Tatau Hashimah Wahab.

Oleh
Abang Ismail Abang Su'ud

- Utusan Borneo