Berita Akhbar

Program Matahari dan Iris Meningkatkan Kesedaran Kepentingan Ilmu Perundangan dalam Kalangan Wanita

KUCHING, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan (PPWWP) telah melaksanakan program dan aktiviti pembangunan wanita yang dikenali sebagai Program Matahari dan Iris, di sini semalam.

Matahari merujuk kepada program meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita manakala Iris bermaksud program literasi perundangan dan hak wanita yang berobjektifkan meningkatkan literasi ilmu perundangan yang telus dan jelas dalam kalangan wanita.

Program tersebut menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan kendiri wanita melalui aspek psikologi dan pemikiran positif dan ia memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran daya tahan dan penyesuaian diri kepada sebarang perubahan.

Antara pengisian yang berlangsung sempena program yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan adalah sesi taklimat dan ceramah daripada Jabatan Bantuan Guaman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terdapat aktiviti pameran yang melibatkan jabatan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta pempamer daripada usahawan-usahawan Sarawak.

Menurut Pengelola Cawangan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Siti Aishah Rohiban, 37, persatuannya berobjektif memperkasakan golongan wanita di Sarawak untuk pembangunan sosial dan ekonomi.

“Pameran yang dianjurkan oleh kami ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan ramai yang tertarik dan bertanya lebih lanjut mengenai peranan serta objektif PPWS.

“PPWS amat mengalu-alukan penyertaan golongan belia wanita untuk turut serta dalam program-program yang dianjurkan. Penglibatan golongan belia ini penting untuk memastikan kelangsungan perjuangan dalam memperkasakan wanita di Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Sandra Sigu, 45, berkata program tersebut merupakan inisiatif yang baik kerana berupaya memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu penting seperti keganasan rumah tangga, hak-hak sivil dan akta-akta penceraian yang mana sebelum ini kurang diketahui terutamanya bagi mereka yang bukan beragama Islam.

“Sebelum ini, ramai di antara kita hanya memahami undang-undang Syariah yang melibatkan orang Islam, terutamanya dalam isu penceraian. Namun, dengan adanya program seperti Matahari dan Iris, banyak maklumat baru yang bermanfaat telah didedahkan termasuk mengenai undang-undang sivil yang turut memberi perlindungan kepada golongan bukan Islam.

“Ini amat penting kerana ramai di antara kita tidak sedar bahawa terdapat undang-undang sivil yang relevan boleh membantu golongan yang terkesan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, program tersebut juga seharusnya diperluaskan lagi ke sektor swasta kerana dua pihak ini memainkan penting dalam mendidik dan menyebarkan maklumat kepada orang awam mengenai hak-hak mereka di bawah undang-undang.

-ZS-

MalaysiaAktif