Berita Akhbar

Fokus infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar

LIMBANG: Usaha menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar bagi kawasan Parlimen Limbang perlu diberi penekanan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, masih terdapat tempat-tempat di luar bandar dalam kawasan Parlimennya yang memerlukan kemudahan bekalan elektrik dan jaringan jalan raya untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

“Antaranya adalah pembinaan jalan raya menuju ke Rumah Jampong yang ketika ini masih menggunakan laluan balak dan berbatu untuk ke bandar Limbang selain prasarana asas lain,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Limbang di Dewan Bunga Raya baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PPWS Daerah Limbang Fariyana Ajmain.

Ahli Parlimen Limbang itu berharap agar penduduk Limbang tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan program untuk rakyat seperti program sara hidup, pendidikan, kebajikan, sosial dan ekonomi yang sudah dijalankan dan diteruskan dalam Belanjawan 2025 nanti.

Justeru beliau berkata, Belanjawan 2025 perlu memastikan akses kepada kemudahan asas di kawasan luar bandar dipertingkat sekali gus memudahkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Selain jalan raya kata Hasbi, Belanjawan 2025 diharap tidak meminggirkan Limbang dengan meningkatkan kemudahan kesihatan luar bandar di daerah itu.

“Limbang masih memerlukan pembinaan dan naik taraf klinik kesihatan termasuk Klinik Kesihatan Nanga Medamit, Klinik Kesihatan Long Napir yang masih terbengkalai dan kemudahan sebuah poliklinik di bandar Limbang,” ujarnya.

Hasbi juga menjelaskan, banyak projek yang sudah diluluskan namun belum dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan justeru sewajarnya dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.


— UTUSAN BORNEO