Berita Akhbar

PPWS berjaya menyatupadukan wanita di Sarawak

KABONG: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) berjaya menyatupadukan wanita dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur menerusi aktiviti yang dijalankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga membawa wanita ke arah peningkatan ilmu dan kemahiran serta kualiti kehidupan yang lebih baik berteraskan kerjasama dan kesepakatan antara satu sama lain.

“Semangat kesukarelaan dan keharmonian inilah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh PPWS sehingga menjadi salah sebuah NGO terkemuka dan dikagumi bukan sahaja di Sarawak malah seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga PPWS Zon Kabong 2024 di Pantai Tanjung Kembang dekat sini semalam.

Chee Kadir berkata PPWS perlu mencari kaedah baharu untuk mendokong aspirasi kerajaan Sarawak bagi meningkatkan pendapatan wanita khususnya di luar bandar.

“Golongan wanita hari ini bukan sahaja berperanan penting dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan, malah perlu terlibat secara proaktif dalam bidang perniagaan sekali gus menjadi usahawan berjaya di negeri ini.

“Perkembangan zaman tanpa sempadan menuntut golongan wanita terlibat sama memajukan diri dalam bidang ekonomi yang mempunyai peluang yang luas untuk diusahakan,” ujarnya.

Jelasnya, PPWS merupakan platform untuk membantu dan membimbing mereka meningkatkan pendapatan secara berterusan dengan menerokai bidang perniagaan dan perusahaan yang dijalankan di kawasan masing-masing.

Chee Kadir menambah, PPWS juga perlu melibatkan diri dalam perniagaan khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) yang banyak diusahakan di daerah itu.

— HARIAN SARAWAK