KUCHING: Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi yang juga penaung Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) menghadiri Majlis Jamuan Teh anjuran persatuan tersebut hari ini.
Majlis tersebut diadakan sempena Hari PPWS yang merupakan simbolik tanda penghargaan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama kemajuan Sarawak.
"Selain menjadi pembangun institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang," kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan hari ini. Pengerusi Negeri PPWS Aishah Edris memberitahu, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 pada tahun ini bertemakan 'Wanita Dijulang Negara Gemilang' telah dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menunjukkan kepentingan mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender pada semua peringkat sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini.
“Peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek juga merupakan tonggak utama kepada pembangunan sosial masyarakat.
“Peranan wanita pada masa ini adalah sama pentingnya dengan kaum lelaki dan bagi mencapai kesaksamaan gender dan seterusnya memaksimumkan potensi serta peranan wanita.
“PPWS akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif meliputi aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan latihan, keselamatan dan kesejahteraan wanita serta kepimpinan.
“Ahli-ahli PPWS mesti berdikari dan kurangkan kebergantungan kepada orang lain bagi tujuan kelangsungan hidup mereka,” ujar Aishah semasa menyampaikan ucapan pada majlis yang diadakan di Dewan Seri Mahligai di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MAKSAK Wanita Negeri Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Negeri PPWS Dato Norhyati Ismail, Penasihat PPWS Dato Rugayah Abdul Majid dan Ahli Seumur Hidup Datuk Seri Hafsah Harun, Dato Hajijah Uteh dan Dato Amar Fatimah Jamil.