Berita Akhbar

Ahli Parlimen Batang Sadong Sumbang RM10,000 Kepada PPWS Simunjan

SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee telah menyumbangkan dana berjumlah RM10,000 kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Simunjan sempena Majlis Makan Malam Sanjungan Budi persekutuan berkenaan pada Sabtu.
Berucap ringkas dalam majlis tersebut, Rodiyah memberitahu bahawa peranan wanita dalam pembangunan negara dan masyarakat adalah amat penting dan signifikan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Sehubungan dengan itu, sumbangan dana aktiviti beliau sedikit sebanyak dapat membantu persekutuan tersebut menganjurkan lebih banyak aktiviti yang mampu meningkatkan martabat dan penglibatan golongan wanita dalam masyarakat.
Dalam kesempatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris turut senada dengan Rodiyah dengan menyumbangkan dana berjumlah RM5,000 kepada PPWS Simunjan.
Turut diadakan dalam majlis pada malam itu adalah penyampaian Sanjungan Budi kepada tujuh mantan Pengerusi PPWS Simunjan yang disempurnakan oleh wakil Pengerusi PPWS Sarawak, Hasmah Sauni.
Hadir sama, isteri kepada ADUN Simunjan Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Zainap Halip, Pengerusi PPWS Daerah Simunjan Sharifah Noria Wan Zain dan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Rosita Poni.
-EDISI UKAS