Berita Akhbar

Kes penyalahgunaan dadah di Sarawak meningkat 11.88%

BINTULU: Kes penyalahgunaan dadah di Sarawak telah mencatatkan peningkatan 11.88 peratus yang melibatkan 8,984 tangkapan setakat September tahun ini berbanding 8,030 tangkapan sepanjang tempoh sama pada 2022, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Jelasnya, dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, bagi tangkapan yang dijalankan sehingga September ini, 454 kes melibatkan pengedaran manakala 1,669 lagi didapati memiliki dadah dan substans.
"Pada masa sama 6,861 lagi melibatkan individu yang dibuat saringan air kencing yang disahkan positif mengambil bahan terlarang itu," ujarnya semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Rasmi Bengkel Cantik Dalaman dan Luaran di Grand Margherita Plaza Hotel Bintulu, hari ini.
Peningkatan kes penyalahgunaan dadah ini ujarnya, menimbulkan kebimbangan dan semua pihak harus bekerjasama bagi menanganinya.
Sebaik-baiknya jelas beliau, para ibu bapa melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) harus terus proaktif melalui penganjuran seminar berkaitan penyalahgunaan dadah dan kesan jangka masa panjang pengambilannya.
"Dalam pada itu, ketua masyarakat memainkan peranan penting dengan menyalurkan segala kes penyalahgunaan dadah yang berlaku di kampung dan rumah panjang masing-masing dengan melaporkan kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan segera diambil," tegas beliau.
Sama juga jelasnya, di peringkat komuniti yang mana orang awam memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan permukiman mereka.
Dalam ucapannya, Fatimah melahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) yang menjemput beliau merasmikan majlis penutupan bengkel yang dikhaskan buat kaum Hawa di Bintulu. "PPWS sejak ditubuhkan pada tahun 1962 telah mempunyai keahlian terkini seramai 11,493 orang di 337 perkumpulan dan 18 buah daerah seluruh Sarawak," jelasnya. Sejajar dengan misi serta visi PPWS, ia terus berkembang melalui pelbagai program yang membina keterampilan wanita supaya berdaya maju demi kesejahteraan dan kemakmuran keluarga. Ia sekali gus menurut beliau, akan membantu dalam menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya. "Apa yang penting PPWS memberi peluang untuk wanita mencapai potensi dalam semua bidang serta meningkatkan taraf kehidupan wanita menerusi kegiatan yang terancang dan berkesan," tambah beliau.