MIRI: Kaum wanita merupakan golongan yang mampu memainkan peranan dalam membentuk nilai kasih sayang dan saling menghormati bermula daripada institusi kekeluargaan.
Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Norjanah Razali berkata penerapan nilai ini harus diperluas kepada masyarakat dalam usaha mendepani cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat dan budaya penyayang.
“Penerapan nilai murni ini dalam keluarga akan dapat menjamin pembangunan sosial mapan.
“Namun sayang, kehidupan dalam suasana permuafakatan antara ahli keluarga terjalin mesra, bertimbang rasa, saling memahami dan menghormati sudah semakin terhakis dan diganti dengan sikap individualistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun PPWS Ke-54 dengan slogan ‘Wanita Pembina Masyarakat Penyayang’ di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Turut hadir Penaung PPWS Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, bekas Penaung PPWS Toh Puan Norkiah, Penasihat PPWS Datuk Ursula Goh dan bekas Penasihat PPWS Datuk Rogayah Majid.
Justeru, menurut Norjanah, PPWS sebagai sebuah NGO wanita berusaha membantu kerajaan melaksana program berkesan menangani masalah ini supaya dapat melahirkan masyarakat penyayang.
Sementara itu pada majlis sama, Ragad turut melancarkan program ‘SFWI Care and Share’ dan laman sesawang PPWS.
Program ‘SFWI Care and Care’ akan dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Kecil Sosial, Rekreasi dan Kebajikan dengan dipengerusikan oleh Salbiah Abdullah.
Manakala objektif utama program ini dilaksana membantu mereka memerlukan dengan membantu mengumpul dana atau derma daripada orang awam menerusi beberapa program atau aktiviti yang diadakan dalam bentuk sukarelawan.
Antaranya, mengagih sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan, melawat rumah kebajikan selain mendapat dana membantu mangsa kebakaran serta bencana alam.
Sementara pelancaran laman sesawang PPWS pula bertujuan membolehkan ahlinya lebih berinteraktif dan pada masa sama membolehkan orang luar mendapat maklumat dengan program serta aktiviti PPWS lebih cepat malah mudah hanya dengan satu klik.
Dalam pada itu, seramai 600 ahli PPWS seluruh negeri telah menghadiri majlis sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malam Bollywood’.