Berita Akhbar

PPWS bakal anjur persidangan ACWW ke -13

KUCHING, 30 Jun : Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) akan menganjurkan persidangan antarabangsa Associated Country Women of the World (ACWW) Ke-13 di negeri ini.

Pengerusinya, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, ini merupakan kali kelima pihaknya diberi mandat sebagai tuan rumah untuk menganjurkan persidangan itu yang bertemakan Kepelbagaian Adalah Kekuatan Kita.

Beliau berkata, kali terakhir pihaknya menganjurkan persidangan itu ialah pada 2012 manakala kali pertama diberi penghormatan selaku tuan rumah pada 1964.

“Tujuan persidangan ACWW adalah untuk memberi pendedahan serta berkongsi ilmu pengetahuan selain dapat mewujudkan rangkaian kerjasama dengan pertubuhan wanita di Malaysia dan juga luar negara,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPWS di sini.

Katanya, persidangan itu akan berlangsung pada 4 hingga 6 Julai ini dengan negara yang turut menghantar wakil termasuklah Brunei, Singapura, Filipina, Indonesia dan Kemboja.

“Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk merasmikan persidangan itu,”katanya.

Norhyati memberitahu, Penaung PPWS, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah juga dijangka akan hadir.

Untuk rekod, PPWS ditubuhkan pada 1962 dan mempunyai seramai 12,388 orang ahli terdiri daripada berbilang kaum dan agama di 352 buah perkumpulan di seluruh Sarawak. -TVS