KUCHING: Isteri Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Demak Jaya di sini pada Jumaat.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan bagi memaklumkan dan menjemput Toh Puan Datuk Patinggi Raghad untuk merasmikan Majlis Jamuan Teh bersempena dengan Jubli Intan Ke-60 PPWS yang dijangka diadakan pada 16 Julai ini.
Difahamkan, sambutan Jubli Intan Ke-60 PPWS kali ini bertemakan “Pemangkin Komuniti Dinamik” yang akan diadakan di Hotel The Waterfront, Kuching.
Dalam pada itu, sambutan Jubli Intan Ke-60 PPWS kali ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan penting PPWS dalam pembentukan wanita, keluarga dan pembangunan komuniti serta menjadikan PPWS sebagai pemangkin pemerkasaan wanita dalam komuniti di Sarawak.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi mengetengahkan peranan PPWS sebagai pemangkin komuniti dinamik dalam memajukan wanita Sarawak agar maju ke hadapan selari dengan keperluan semasa Negeri Sarawak.
Turut hadir, Pengerusi PPWS, Dato Norhayati Mohd Ismail, Naib Pengerusi PPWS, Aishah Edris, Timbalan Pengerusi PPWS, Zainab Tambi serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain. -EDISI UKAS