Berita Akhbar

PPWS buka peluang bantu usahawan kecil wanita mempromosikan produk

LAWAS: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Lawas membuka peluang kepada usahawan-usahawan kecil wanita untuk mempromosikan produk mereka dengan menyertai setiap program yang dianjurkan.

Pengerusi PPWS, Daerah Lawas, Suriyah Jinin berkata, penganjuran program seperti Program Komuniti dapat membuka peluang kepada peserta mempromosikan jualan mereka disamping menjalinkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dan AJK yang terlibat sepanjang penganjuran tersebut.

“Disamping membina interaksi dengan lebih dekat bersama penduduk kampung, menerusi aktiviti yang dilaksanakan juga dapat memberi maklumat kepada penduduk tentang peranan yang dibawa oleh PPWS yang ada di Daerah Lawas ini.

“Aktiviti seperti Pertandingan Bola Tampar Wanita, Pertandingan Bunga Keladi, Hafazan Surah Al-Fatihah dan Pertandingan Azan bagi kanak-kanak dapat mengisi masa cuti kanak-kanak sekaligus menggalakkan ibu-bapa turut terlibat sama meluangkan masa dengan anak-anak mereka,” katanya ketika merasmikan Program Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak Daerah Lawas (PPWS) di Kampung Punang, Lawas baru-baru ini.

Turut hadir sama memeriahkan majlis, Pengerusi PPWS Kampung Punang dan Ahli Jawatankuasa PPWS Kampung Punang.-Sumber UKAS.