Berita Akhbar

Keganasan rumah tangga boleh berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan - PPWS | Utusan Borneo Online

KUCHING: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya berlaku sebarang keganasan rumah tangga semasa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

“Dalam tempoh PKP ini, mereka yang duduk lama di rumah akan berasa sedikit tegang dan berasa rimas antara satu sama lain.

"Bagi keluarga yang mempunyai rumah dan ruang besar juga boleh tiba-tiba berasa jengkel apabila duduk di rumah, apatah lagi bagi mereka yang mempunyai rumah atau ruang yang kecil,” jelas persatuan itu menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya juga, kanak-kanak yang duduk di rumah sepanjang hari agak cenderung untuk membuat bising dan bertengkar manakala ibu bapa mereka akan membuat hal masing-masing. “Bagi orang dewasa, mereka cenderung untuk bertikam lidah dan menyuarakan isi hati mereka. Melihatkan kepada situasi tersebut, PPWS sedar bahawa keganasan rumah tangga boleh berlaku dan para pendera akan lebih mudah untuk angkat tangan terhadap mangsa,” katanya lagi. Dalam pada itu, PPWS menyarankan agar semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Sekiranya anda mendengar sebarang keganasan dari rumah jiran, anda boleh melaporkannya dengan membuat panggilan tanpa nama kepada polis. “Jika anda mengenali seseorang yang berisiko dan terlibat dalam keganasan rumah tangga, sila tanya khabar mereka dengan menghantar teks atau membuat panggilan telefon,” jelasnya lagi. “Anda juga boleh menawarkan kepada mereka (mangsa) untuk tinggal bersama anda sepanjang tempoh ini selain mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu seperti melakukan pengasingan diri, sekiranya anda boleh berbuat demikian dan sekiranya mereka bersetuju,” tambahnya. 

Walaupun talian telefon SWWS ditutup semasa PKP ini, orang ramai boleh menghantar emel kepada SWWS untuk membincangkan mengenai situasi mereka di sarswws@gmail.com. Orang awam juga boleh menghubungi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang berpusat di Kuala Lumpur yang membuka talian TINA 24 jam untuk mesej teks / WhatsApp (018988 8058) dan hotline mereka dari jam 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Sabtu. WAO juga mempunyai maklumat yang berguna di laman web mereka (wao.org.my).

Selain itu, individu yang khuatir akan keselamatan diri juga boleh menghampiri One Stop Crisis Centre di semua hospital utama kerajaan. Kanak-kanak berisiko, termasuk yang terdedah dengan gangguan seksual, boleh menghubungi talian bantuan Kerajaan (Talian Kasih) 15999 atau WhatsApp mereka di talian 019-2615999.