Berita Akhbar

PPWS Kampung Pabahanan hargai kerjasama ahli

LIMBANG: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Pabahanan sentiasa menghargai ahli-ahli dalam menjayakan pelbagai program yang dijalankan sepanjang tahun.

Pengerusinya Fariyana Ajamain berkata, kejayaan penganjuran program yang diadakan menunjukkan semangat kerjasama, komitmen dan usaha gigih ahli yang dilantik menggalas amanah. Jelasnya, bagi menghargai sumbangan dan memberi penghargaan atas jasa dan bakti sepanjang menjadi ahli PPWS Kampung Pabahanan, Majlis Apresiasi 2020 diadakan penuh warna-warni baru-baru ini.

Pada majlis yang bertemakan biru dan hitam itu, beberapa anugerah disampaikan kepada ahli PPWS Kampung Pabahanan. Anugerah Ibu Terbaik menyaksikan Asmah Mohiddin, Suria Sahari, Rosni Bakir dan Norinah Jaludin merangkul gelaran itu. Sementara itu, Norhaini Jaludin, Rosni Ayub dan Rostina Mohd Morshidi merangkul Anugerah Ahli Aktif. Anugerah Ahli Kreatif diterima Rosnani Samat, Hasrina Chuchu menerima Anugerah Ikon Ekonomi manakala Mariah Matusin  menerima Anugerah Ahli Emas sementara Lihon Salleh menerima Anugerah Khas.

Turut hadir Pengerusi PPWS Daerah Limbang Jaliha Besar.