Berita Akhbar

Perusahaan gula apong Demak Laut berpotensi tinggi

KUCHING: Perusahaan gula apong akan dikomersialkan dalam usaha mempelbagaikan produk makanan di Sarawak. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni, kawasan Demak Laut mempunyai potensi ke arah itu kerana mempunyai banyak sumber pokok nipah sebagai bahan utama kepada pengeluaran gula apong.
“Kita telah merancang untuk menjadikan gula apong sebagai satu perusahaan yang akan diberikan perhatian untuk dikomersialkan di kawasan DUN Demak Laut.

“Selain sumbernya yang banyak, kita melihat perusahaan gula apong ini juga mampu menarik lebih ramai pengusaha di kalangan penduduknya,” katanya semasa berucap di Program Dapur Apong Kampung Pinggan Jaya sempena penubuhan PPWS Cawangan Kampung Pinggan Jaya di sini, semalam. Katanya, kertas kerja tersebut telah pun siap dan kita akan mengemukakan cadangan ini kepada Jabatan Pertanian Sarawak untuk tindakan seterusnya.

Ketika ini perusahaan gula apong belum lagi meluas tetapi potensinya tetap ada dalam menjadikan gula apong ini sebagai satu industri utama makanan di Sarawak. Gula apong ini bukan sahaja boleh dibuat kuih muih, tetapi juga sebagai perisa yang sangat baik bagi menggantikan gula dalam makanan. Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sarawak Norjanah bte Hj Razali, Pengerusi PPWS Bahagian Kuching/Samarahan Hasmah bte Sauni Samad, Pengerusi PPWS Kampung Pinggan Jaya Yanti bte Borhan dan Penghulu Kampung Pinggan Jaya Abang bin Marawi.

Pada majlis itu, Dr Hazland turut mengumumkan sumbangan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada PPWS Kampung Pinggan Jaya dan RM5,000 kepada PPWS Bahagian Kuching/Samarahan.