Berita Akhbar

PPWS aktif jalankan kerja sosial di Sarawak

LIMBANG: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) merupakan salah satu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) yang aktif dalam mewakili suara wanita khususnya dalam kerja-kerja sosial.

Menurut Datuk Dr Abdul Rahman Ismail penubuhan PPWS sejak tahun 1962 hingga kini telah berjaya memperkasakan wanita-wanita di kawasan luar bandar dengan mengurangkan kadar buta huruf di kalangan wanita dan usaha ini telah diperkembangkan sejajar dengan keperluan wanita pada masa kini.

“Sekian lama tujuan penubuhannya telah diperkembangkan antaranya untuk memperkasakan kepimpinan dan pengurusan, kedua memperkasakan keusahawanan, ketiga kesihatan dan kesejahteraan wanita, keempat meningkatkan pengetahuan sosial dan kebajikan dan kelima untuk pendidikan dan latihan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke 48 PPWS Sakura Limbang anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Sakura Limbang di Auditorium Hwa Zhi, SJK (C) Chung Hwa Limbang pada Ahad. Datuk Dr Abdul Rahman mengucapkan tahniah dan syabas kepada PPWS khususnya PPWS Cawangan Sakura kerana telah memberikan sumbangan yang banyak kepada pembangunan wanita di negeri ini terutamanya di Daerah Limbang.

 “PPWS telah memberikan sumbangan yang banyak kepada pembangunan wanita di Sarawak dan seterusnya kepada pembangunan negeri Sarawak itu sendiri khususnya dalam bidang ekonomi wanita.

“Tahniah kepada PPWS Sarawak, PPWS Limbang dan PPWS Sakura di atas sumbangan dan peranan yang diberikan secara keseluruhannya,” ujarnya.

PPWS Cawangan Sakura menyambut Ulang Tahun Ke 48 penubuhannya dan merupakan salah satu cawangan daripada 34 cawangan PPWS yang terdapat di Daerah Limbang dan salah satu cawangan dari 64 cawangan yang terdapat di Bahagian Limbang.

Sehingga kini, jumlah keahlian PPWS Daerah Limbang ialah lebih 2,000 orang yang semuanya adalah golongan wanita.