Berita Akhbar

Masyarakat bukan Islam tidak kekok bersama imarahkan Ramadan

AGIH: Mohd Fakri (enam kiri) ditemani Adinin (lapan kiri) dan Nurul Izza (empat kanan) pada pengagihan bubur lambuk baru-baru ini.

LIMBANG: Pembabitan masyarakat bukan Islam pelbagai etnik merupakan suasana unik yang dapat dilihat pada pengagihan bubur lambuk di kawasan Perumahan Ranggau baru-baru ini.

Sekitar tujuh etnik memeriahkan Program Pengagihan Bubur Lambuk di bawah Program Sayangi Komuniti anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ranggau. Menurut Pengerusi KRT Ranggau Adinin Adol, program yang diadakan setiap kali Ramadan itu turut disertai ahli jawatankuasanya yang bukan beragama Islam.

“Mereka juga membantu memasak bubur lambuk, merasai pengalaman memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk di sini,” katanya kepada media.

Turut hadir Pegawai Perpaduan Bahagian Mohd Fakri Asmad dan Pengelola Persekutan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Limbang Nurul Izza Hanis. Program Pengagihan Bubur Lambuk mendapat kerjasama daripada PPWS Limbang dan Jawatankuaasa Penyelaras Tabika Perpaduan. Adinin berkata, konsep kerjasama dan gotong-royong sudah menjadi budaya dalam kalangan KRT Ranggau ketika menjayakan pelbagai aktiviti termasuk rondaan, gotong-royong dan pelbagai program yang mengimarahkan Ramadan. Sementara itu Mohd Fakri berkata, setakat ini sekitar 15 KRT di daerah Limbang sudah mengadakan program sama sempena Ramadan. Jelasnya, 57 KRT yang terdapat di Limbang disaran melaksanakan sekurang-kurangnya satu program di kawasan mereka.

“Objektif kita adalah untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya.

Sebanyak 600 pek bubur lambuk diagihkan pada program itu.