Berita Akhbar

Laksana amalan kebersihan elak penularan HFMD

LIMBANG: Ibu bapa dinasihati supaya menjaga kebersihan diri anak-anak bagi mengurangkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya perlu diamalkan bagi mengurangkan peningkatan kes di seluruh negeri.

“Ibu bapa atau penjaga disaran menitikberatkan soal kebersihan anak-anak, selain segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital jika mempunyai simptom penyakit ini.

“Kita sedia maklum penyakit ini banyak berkaitan dengan kebersihan dan tahap kebersihan seseorang perlu dititikberatkan bagi mengelak penyakit ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Anjung Waisan Tiga Saampun, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Benuas di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufia Mohat, Pengerusi PPWS Daerah Limbang Jaliha Besar, Pengelola PPWS Kawasan Limbang dan Lawas Nurul Izza Hanis, Pengerusi PPWS Cawangan Kampung Benuas Rohani Rajeh, Penghulu Abu Tinggal dan Ketua Kampung Benuas Ismail Nayan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini dipetik sebagai berkata, Kuching merekodkan kes HFMD tertinggi di negeri ini manakala 215 kes direkodkan di Limbang dari tempoh Januari hingga 11 Ogos lepas.

ADUN Bukit Kota itu berkata, kes HFMD masih dalam keadaan terkawal walaupun statistik meningkat.

Orang ramai ujarnya, perlu mengetahui cara-cara untuk mengawal dan membuat laporan kepada hospital bagi memudahkan pihak hospital mengadakan perancangan teratur menangani penularan penyakit itu.

Sementara itu katanya, kerajaan akan meneruskan usaha memenuhi keperluan masyarakat daripada aspek pendidikan, keagamaan, ekonomi dan sukan secara berperingkat.

Menurutnya, rakyat, belia dan wanita di Limbang mempunyai sikap rajin dan ingin berusaha, sekali gus memberi inspirasi dan semangat kepada pemimpin untuk terus berkhidmat.

Katanya pembinaan satu lagi bangunan dan pejabat Anjung Waisan Tiga Saampun, PPWS Cawangan Kampung Benuas bernilai RM50,000 akan memudahkan lagi PPWS kampung untuk menggerakkan aktiviti dan program dengan jayanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM3,000 kepada PPWS Cawangan Kampung Benuas.