Berita Akhbar

Peranan wanita kini berubah dan semakin berkembang

LIMBANG: Kaum wanita melalui Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) perlu terus berjuang mencapai sasaran 30 peratus sumbangan terhadap pembangunan negara dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peranan wanita kini berubah dan semakin berkembang di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga.

“Sekarang ini landskap sudah berubah dan sumbangan wanita perlu disanjung dalam apa jua bidang termasuk meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi negara,” ujarnya pada Majlis Gawai Raya anjuran PPWS Daerah Limbang di Dewan Suarah di sini, semalam.

Turut hadir ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Pengerusi PPWS Kawasan Limbang Lawas Dayang Suridah Mohamad Superi, Pengerusi PPWS Daerah Limbang Jaliha Besar, Pengerusi PPWS Daerah Lawas, Suriyah Jinin dan Pengelola PPWS Kawasan Limbang dan Lawas Nurul Izza Hanis.

ADUN Bukit Kota berkata lagi, wanita juga perlu berfikiran global dan menumpukan kepada bidang yang boleh dibangunkan secara bersama.

Di samping itu katanya, PPWS juga perlu bergiat aktif dalam perniagaan khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) yang banyak diusahakan di daerah ini.

“Peranan wanita amat penting dan perkembangan semasa menuntut kaum wanita untuk terlibat sama dalam aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain memperbanyakkan kursus berkaitan kemahiran, banyak aktiviti pengeluaran berasaskan produk pertanian boleh diusahakan.

“Banyak peluang yang perlu direbut dan pasaran sentiasa ada.

“Pengeluaran produk perlu ditingkatkan dengan mengekalkan kualiti yang terbaik,” katanya.

Oleh itu katanya, Jabatan Pertanian diarah untuk memastikan bekalan ikan tamban (ikan tahai) yang banyak diusahakan di utara negeri ini sentiasa terjamin.