Sejarah Pertubuhan

Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ialah satu badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 1962 bermula di bawah jagaan Jabatan Pertanian iaitu sebagai sebahagian daripada Rancangan Luar Jabatan Pertanian.

Penubuhan PPWS ini telah menjadi kebanggaan kepada kaum wanita di Sarawak kerana sejak penubuhannya, PPWS telah memainkan peranan dalam membimbing dan menggerakkan wanita ke arah kemajuan dari segi pendidikan di samping melaksanakan projek dan aktiviti yang menjana pendapatan. Pergerakan ini juga telah menggilap potensi wanita dalam memberi sumbangan ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Melalui pergerakan ini, PPWS telah dapat menggalakkan perpaduan, persefahaman, dan persahabatan di antara semua kaum di negeri ini dan menjalinkan kerjasama dengan badan-badan pertubuhan lain yang mempunyai hasrat yang sama bagi meninggikan lagi taraf wanita.

Pada awal penubuhan PPWS, pergerakan ini telh dikelola oleh Miss Elizabeth O’ Kelly yang mentadbir PPWS di bawah Jabatan Pertanian. PPWS mula beroperasi di Serian sebelum mengembangkan pergerakan di Kuching. Ketika itu, PPWS mendapat bantuan untuk membiayai gaji Miss Elizabeth O’ Kelly daripada Yayasan Asia melalui Jabatan Kerjasama Teknikal, Britain. Pada tahun 1965, tugas Miss Elizabeth O’ Kelly diserahkan kepada seorang Setiausaha Pentadbir Tempatan, iaitu Puan Rugayah Majid.

Pada masa itu, PPWS ditubuhkan dengan tujuan membantu wanita membaiki dan meninggikan taraf hidup mereka terutamanya di kalangan wanita luar Bandar. Media untuk memperkenalkan PPWS kepada orang ramai di luar Bandar ialah dengan menerbitkan surat berita pada tahun 1963 dan melancarkan W.I yang membawa erti “Women’s Institute” di corong-corong radio bagi memudahkan pergerakan ini untuk menyampaikan berita kegiatan persatuan kepada ahli-ahli dan orang ramai.

Antara usaha-usaha PPWS pada awal penubuhannya ialah meningkatkan taraf hidup golongan wanita ialah pertama, menjalankan Kelas Buta Huruf di Kampung-kampung, di Bandar dan di luar Bandar yang dihadiri oleh mereka yang berumur antara 20 tahun hingga 60 tahun.

Kedua, PPWS di dalam tahun 60an telah membantu wanita di luar Bandar untuk mendapatkan bekalan air paip di kampung dengan bantuan wang dan teknikal dari Kerajaan menerusi Jabatan Perubatan dan Kesihatan dan Persatuan Wanita Desa Sedunia. Selain dari projek bekalan air, pembinaan tandas curah juga telah menjadikan kawasan kampung lebih selesa.

Selain itu, pada tahun 70an, PPWS telah memulakan Projek Pertukangan Tangan adalah projek menambahkan pendapatan keluarga dan satu-satunya projek PPWS untuk memperbaiki keadaan hidup wanita luar Bandar. Kursus-kursus membuat dan menambah baik mutu pertukangan tangan telah diadakan dan pertandingan pertukangan tangan juga telah diadakan.