Arkib Berita

Wanita juga mampu galas tanggungjawab berat

18 Disember 2020, Jumaat

MUKAH: Keupayaan golongan wanita tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, mereka mampu menggalas tugas serta tanggungjawab berat setanding dengan lelaki ketika ini. Wanita kini mampu memikul tugas sama seperti lelaki dan jni merupakan satu penghormatan besar kepada mereka,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daro di Dewan Masyarakat Daro, baru-baru ini.

Menurutnya, ini tidak terkecuali dalam bidang kepimpinan di mana wanita juga mempunyai kemampuan tersendiri. Mengambil contoh PPWS, ia merupakan salah satu persatuan kesukarelaan dalam kalangan wanita. Beliau mengatakan tugas sebagai pemimpin yang disandang wanita juga sesuatu yang amat mencabar. Ini kerana selain tugas dalam persatuan contohnya, pada masa sama mereka juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan sebagainya.

Mengenai PPWS Daro, beliau mahu melihat persatuan itu berdiri sebagai sebuah persatuan yang sentiasa relevan dalam kalangan masyarakat serta terus aktif. Sebagai wakil rakyat di situ, beliau sentiasa memberi sokongan dalam apa juga bentuk aktiviti yang dianjurkan PPWS Daro. Majlis sama turut menyaksikan penyerahan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada PPWS Daro sebanyak RM5,000.